"Hujan pagi hari, rintik-rintiknya halus dan jernih sejak kelmarin. Namun malang, sejuknya tidak sampai ke petang. Betapa pun, syukur Alhamdulillah. Itulah rahmat Tuhan. Terkadang, ingin rasanya hati ini turut disirami hujan. Biar dingin. Biar nyaman. Moga subur tanah hati dengan baik.
Kadang kala, hati harus akur. Tidak selamanya hujan akan mencurah. Tetap ada kemaraunya. Hari ini hujan pagi. Esok, mungkinkah kemarau?" Getus hati Abdullah Soleh sebelum matanya tertutup.
Keesokannya, Abdullah Soleh dengan semangatnya mengharungi hari terakhir sebuah program kem motivasi untuk pelajar-pelajar institut pendidikan tinggi di tempat mereka.
Slot terakhir motivasi bagi program tersebut bertajuk "Istimewanya Diri Kita".
"Baik, siapa boleh beritahu kita di sini keistimewaan dirinya?" Satu soalan dilontarkan kepada mahasiswa dan mahasiswi oleh motivator tersebut.
"Saya nak jawab!" Sambut seorang mahasiswa yang bergaya dengan nada yakin.
" Assalamualaikum semua. Di sini saya nak beritahu apa keistimewaan saya, istimewanya saya ialah saya berkeyakinan tinggi, saya bijak berpidato, dan saya yakin bahawa saya mampu menjadi pemimpin negara suatu hari nanti." Kata mahasiswa tersebut dengan penuh keyakinan.
Siswa dan siswi lain juga memberi maklum balas terhadap soalan tadi. Ada yang beritahu keistimewaannya ialah menyanyi, bermain bola, pandai bergurau dan macam-macam lagi.
Hampir semua siswa dan siswi memberi maklum balas terhadap soalan tadi. Lalu, Abdullah Soleh bangkit berdiri untuk turut sama memberitahu keistimewaan sendiri.
"Saya mahu beritahu keistimewaan saya! Keistimewaan saya ialah saya seorang Muslim, mengapa saya berkata begitu? Biar saya jelaskan. Dengarlah sahabat-sahabatku terutamanya yang beragama Islam. Sedarlah! Diri kita tiada ertinya jika Islam bukan agama yang dianuti, tiada ertinya jika kita bukan seorang Muslim.
Sedarlah! Betapa istimewanya kita dapat merasai nikmat Iman dan Islam, betapa istimewanya kita dalam berbillion kalangan umat manusia di dunia ini kita yang terpilih merasai nikmat Iman dan Islam, tanpa nikmat Iman dan Islam mungkin kita boleh berjaya di dunia dengan kelebihan-kelebihan yang Allah anugerahkan, akan tetapi di akhirat sana kita pasti akan kecewa serta merana.
Sedarlah! Seorang Muslim itu sangat istimewa, kerana apa? Kerana kita mempunyai Allah Yang Maha Kuasa. Waktu kita susah dan senang Dia sentiasa ada, malah ketika kita sakit, Dia menghapuskan dosa-dosa kecil kita serta ditambah lagi dengan ganjaran pahala jika kita bersabar menghadapi ujian dari-Nya.
Jika kita lihat, ujian yang hadir itu bukan untuk menghukum kita tetapi memberi peringatan kepada kita yang lalai. Umpama seorang ibu menegur anaknya dengan penuh kasih sayang agar anaknya sentiasa di jalan yang benar. Begitulah perumpamaannya.
Namun kasih sayang Allah lebih lagi daripada kasih sayang seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Tidakkah anda semua berasa istimewa dengan nikmat Iman dan Islam ini? Bukankah ini suatu keistimewaan yang terulung kepada diri anda? Maha Suci Allah yang menciptakan segala apa yang ada di langit dan di bumi! Apa pun musibah yang menimpa seorang Mukmin, selalu menguntungkan dirinya, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. dalam sebuah hadis:
"Amat menakjubkan sikap seorang Mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan Mukmin. Jika dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya." (Riwayat Muslim)
Seorang Mukmin apabila ditimpa kesusahan, dan dia mengingati Allah, dengan jalan itulah dia akan memperoleh jalan penyelesaian yang terbaik. Dia tidak merasa tekanan batin dalam bentuk apapun, kerana penderitaan yang paling berat sekalipun, pasti ada jalan penyelesaiannya dan pertolongan dari-Nya. Rasulullah S.A.W. pun bersabda: "Ingat akan Allah adalah penawar kalbu," Diriwayatkan oleh ad-Dailami oleh Anas.
Maka wahai jiwa yang sedang gundah berduka lara, dengarkan firman Allah S.W.T:
"Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Dan boleh jadi kalian mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah Maha Mengetahui kalian tidak mengetahui." (QS. Al-Baqarah: 216)
Maka setelah ini wahai jiwa pemuda, jangan biarkan kita hanyut dalam ilusi yang berpanjangan terhadap apa-apa yang terlepas dari genggamanmu, dari dakapanmu. Kita lihat di sekeliling kita, kemudian cerminlah diri sendiri. Andai kita tidak kenal siapa yang ada di dalam cermin itu, mulai hari ini ada baiknya kita mulakan mencari diri sendiri!
Manusia yang mulia adalah yang menyedari dengan sepenuh hati bahawa dia hanyalah seorang hamba, dalam pengertian hamba yang sebenar- benarnya, baik secara teori mahupun praktikal. Dia hanya berfikir bagaimana memberikan yang terbaik bagi kehidupan ini, semata-mata mengharap cinta-Nya, keredhaan-Nya, dan lebih dari itu kerana dia mencintai Allah, terpesona kepada keindahan Maha Pencipta, mabuk kepayang dengan 'kecantikan' Maha Pemurah.
Andai ternyata keinginannya tidak selari dengan keinginan Allah S.W.T., ternyata apa yang diharapkannya esok hari tidak menjadi nyata, malah yang terjadi adalah sesuatu yang sebaliknya, maka kita mesti tetap ikhlas dan berbanggalah kita seorang Muslim! Takbir!
"Allahuakbar!"sambut rakan siswa dan siswa yang lain.
Ingatlah sahabat sekalian.
Islam tidak pernah mengecewakan kita tetapi kita yang selalu mengecewakan Islam, kita yang membiarkan Islam terus layu. Kita tidak bangga dengan nikmat Iman dan Islam yang kita miliki. Kita lebih berbangga dengan hiasan-hiasan dunia yang tidak kekal lama. Peringatan ini juga buat diri saya yang kerdil dan hina ini. Sekian terima kasih."
Tepukan gemuruh mula memecah suasana di dalam dewan kem tersebut. Hebatnya jiwa pemuda, hebatnya jiwa pemuda Islam. Allahuakbar!!
Baca Selanjutnya...